Rabu, 15 Januari 2014


Air Penting Demi Kesihatan






Kepentingan air, sama seperti oksigen. Ia merupakan elemen penting demi kelangsungan hidup seseorang manusia.

Ramai di kalangan kita yang hanya minum air setelah dahaga. Sedangkan, kita sering mendengar saranan pakar perubatan dan pakar pemakanan untuk minum air sekurang-kurangnya 8 gelas atau 2 liter sehari. Jika termasuk di dalam golongan yang “malas” minum air, anda seharusnya berubah sikap dan mula memberikan perhatian terhadap kebaikan minum air.

Air membentuk kira-kira 55 - 57 % daripada berat badan dan memainkan peranan penting dalam hampir setiap fungsi utama tubuh. Oleh yang demikian, pengambilan air dalam jumlah mencukupi amat penting untuk tubuh anda menjalankan fungsinya dengan sempurna. Ia mustahak untuk melarutkan sisa metabolisme seperti asid urik dan urea yang diangkut oleh darah ke buah pinggang. Oleh kerana itulah, air mencukupi diperlukan untuk mengeluarkan bahan buangan ini daripada tubuh. Kekurangannya akan “memaksa” buah pinggang bekerja lebih keras untuk menapis bahan toksik dan lama-kelamaan boleh menyebabkannya rosak.

Antara lain, air turut menjadi bahan utama untuk aktiviti enzim dan kawalan suhu badan serta membolehkan darah menghantar oksigen dan nutrien kepada sel di seluruh badan. Kekurangan air boleh menjejaskan semua proses ini dan khasiat makanan mungkin tidak dapat diagihkan dengan baik ke seluruh sistem tubuh.

Ketahuilah, tubuh anda terdiri daripada 70% air. Sekiranya air yang terkandung di dalam tubuh anda bersih, sel tubuh tentu sahaja menjadi lebih segar dan kuat. Kesan daripada air yang bersih boleh merangsang sistem pertahanan badan, metabolisme sel dan mengurangkan risiko sel menjadi tidak normal, mencegah bahan toksik daripada merebak ke sel lain dan merendahkan risiko menghidap jangkitan tertentu.

Dalam pada itu, anda perlu tahu bahawa input air perlu sekurang-kurangnya sama dengan output air. Kekurangan air adalah punca utama keletihan pada waktu siang yang boleh menyebabkan pernafasan menjadi pendek, sakit perut, kebas dan risau tanpa sebab munasabah.

Kekurangan air juga menyebabkan bahan buangan yang perlu dikeluarkan daripada badan terkumpul dan lama-kelamaan boleh mengakibatkan masalah kesihatan. Contohnya pembentukan batu karang. Kehilangan hanya 2% air boleh menyebabkan otak kurang cerdas, ingatan jangka pendek menjadi kabur, sukar mengira dan menumpukan perhatian ketika membaca.

Malah rasa mengantuk selepas makan tengah hari pun merupakan petunjuk tubuh kekurangan air. Seperti yang anda sedia maklum, air diperlukan untuk proses pencernaan dan metabolisme makanan. Bagi menyempurnakan proses ini, tubuh menggunakan air daripada sel badan. Apabila ia digunakan untuk proses pencernaan, bekalan oksigen ke otak berkurangan. Inilah puncanya anda mengantuk, letih dan sukar menumpukan perhatian sewaktu kerja selepas makan.

Ramai yang tidak sedar diri sebenarnya mengalami kekurangan air yang kronik. Sekiranya anda hanya ke tandas 1 atau 2 kali sehari, kerap dahaga, kulit menjadi kering dan mengalami masalah takungan air, itu petanda anda kekurangan air! Tahukah anda, tanda-tanda seperti perut terasa kembung atau kaki kelihatan bengkak merupakan petunjuk tubuh kekurangan air. Bukannya kerana terlalu banyak air.

Kurangkan Berat Badan
Ramai yang keliru antara isyarat lapar dan dahaga. Kekeliruan ini menyebabkan segelintir daripada anda mencari makanan setiap kali satu daripada isyarat ini diterima otak. Akibatnya berat badan bertambah tanpa disedari. Sekiranya anda mahu mengurangkan berat badan, amalan meminum air kosong dalam jumlah yang banyak adalah jalan terbaik. Ini kerana air menjadi elemen penting untuk meningkatkan metabolisme badan dan mempercepatkan proses pembuangan lemak.

Jika anda mengalami kekeliruan ini, langkah terbaik ialah minum air setiap kali berasa lapar. Memandangkan air tidak mengandungi kalori, jadi tidak timbul isu pengumpulan tenaga berlebihan yang akhirnya disimpan sebagai lemak. Untuk mendapatkan kesan yang lebih cepat, pakar pemakanan sering menyarankan individu agar minum setiap kali sebelum makan. Air akan membuatkan anda cepat kenyang. Tanpa disedari, ia dapat mengelakkan diri anda daripada makan dalam jumlah yang banyak. Perlu diingatkan bahawa air yang diambil perlulah air kosong dan bukannya minuman manis yang hanya mengandungi kalori kosong!

Malas Ke Tandas?
Biarpun tahu manfaat air pada kesihatan, tidak ramai yang punya “kekuatan” untuk berulang-alik ke tandas. Oleh kerana itulah golongan ini minum hanya sedikit air dan pada masa yang sama turut mengelak makanan yang mengandungi air yang banyak. Faktanya, kerap berulang ke tandas perlu dianggap sebagai perkara yang positif. Secara purata, pundi kencing dikosongkan di setiap 4 jam. Jadi, membuang air kecil antara 6 hingga 7 kali sehari adalah sesuatu yang normal.

Usah risau jika perlu kerap ke tandas kerana ia adalah antara cara meningkatkan kepekaan fikiran khususnya bagi anda yang lebih banyak duduk ketika bekerja. Terdapat kajian yang menasihatkan individu untuk berehat seketika setiap 1 atau 1 ½ jam ketika bekerja. Oleh itu, anggaplah aktiviti ke tandas sebagai rehat yang bukan sahaja membantu anda membersihkan dalaman tubuh, malah merangsang tumpuan fikiran.


Tiada ulasan: