Anak Cergas Dan Cerdas!

Pemakanan yang berkhasiat dan baik membuatkan pertumbuhan si kecil sempurna sekali gus cergas dan meningkatkan kekuatan fizikalnya.

Pemakanan yang berkhasiat dan baik penting untuk pertumbuhan tubuh yang sihat dan sempurna. Ia bukan sahaja meningkatkan kekuatan fizikal dan cergas tetapi juga kecergasan otak. Jika pengambilan makanan berkhasiat diabaikan, ia boleh menjejaskan pertumbuhan dan kesihatannya.

Oleh itu, mengawal pemakanan terhadap kanak-kanak perlu untuk mengelak daripada menghadapi masalah kesihatan seperti tumbesaran yang terbantut, letih, malnutrisi, perkembangan kognitif dan emosi atau akademik yang terjejas.

Terdapat beberapa jenis vitamin yang memainkan peranan penting untuk pertumbuhan si kecil antaranya vitamin A yang menggalakkan sistem imun si kecil.
Vitamin C pula untuk gigi dan gusi serta membantu tubuh menyerap zat besi dan kalsium yang mana si kecil memerlukan untuk pertumbuhan gigi yang sihat.

Selain itu, jangan abaikan juga pemakanan yang mengandungi vitamin D. Ini kerana jika kekurangan vitamin ia menyebabkan kanak-kanak mengalami rickets atau cacat tulang terutama belakang, kaki dan tengkorak; tulang mudah patah, bengkak sendi dan lemah otot.

Sementara itu, mineral seperti zat besi, zink dan magnesium juga menjadi zat pemakanan yang untuk pertumbuhan si kecil. Misalnya zink penting untuk penyembuhan kulit dan tumbesaran. Juga magnesium untuk pembentuk tulang dan gigi dan umumnya penting dalam diet harian si kecil.


Info zat pemakanan :
Karbohidrat
Bijirin, beras, gandum dan ubi


Protein
Susu dan hasil tenusu (keju), ikan, daging tanpa lemak dan ayam

 
Kalsium
Susu dan produk susu, keju, tofu, sayuran berdaun hijau, kekacang dan telur.


Vitamin A
Produk tenusu, keledek, minyak ikan kod, lobak merah, tomato, labu, mangga, betik, tembikai, cekur manis, cili merah, pucuk paku, kailan dan sawi.
 Vitamin C
Brokoli, betik, oren, mangga, jambu batu dan banyak lagi buah-buahan lain.


Vitamin D
Hasil tenusu, dan telur,mentega, minyak ikan kod, putih telur, susu, oat, ikan salmon, sardin, ubi kentang, tuna, dan minyak sayuran.


Vitamin E
Minyak sayuran, sayuran berdaun hijau gelap, kacang, biji-bijian, dan semua bijirin. Serta beras perang, makanan daripada jagung, telur, rumpai laut, susu, oat, kacang soya, ubi kentang dan gandum.


Mineral
Zat besi, zink dan magnesium
Sesetengah bijirin dan biskut gandum dan produk berasaskan gandum


Tip galak anak makan makanan yang berkhasiat :

Ibu perlu kreatif untuk menghidangkan makanan untuk si kecil bagi menarik minat dia menjamah hidangan yang berkhasiat. Ikuti panduan seperti berikut:

 Potongan buah-buahan dan sayur-sayuran ,potongan keju dan roti sandwic dalam saiz yang kecil untuk mudah si manja mengunyahnya.
 Buah-buahan segar adalah antara snek yang terbaik. Epal, pear dan oren mudah dibawa. Potong halus dan hidangkan.
 Buat salad buah-buahan dengan yogurt rendah lemak untuk menambah pengambilan kalsium.
 Jagung panggang, rebus atau kukus adalah snek kaya dengan serat (jangan tabur garam & sapu marjerin atau mentega) begitu juga dengan pisang segar.
 Jangan benarkan mereka makan makanan ringan kurang daripada satu jam sebelum waktu makan.
 Menggalakkan kanak-kanak untuk mencuba makanan yang baru tanpa paksaan.